PENGENALAN

Pengenalan

Pendidikan asas merangkumi pelbagai jenis kegiatan berunsurkan pendidikan yang berlaku dalam pelbagai situasi sama ada formal atau bukan formal , yang mempunyai matlamat memenuhi keperluan pembelajaran asas.
Mengikut International Standard Classification of Education (ISCED), yang diperakukan oleh UNESCO, pendidikan asas terdiri dari pendidikan sekolah rendah (tahap pertama pendidikan asas) dan pendidikan menengah (tahap kedua pendidikan asas). Di samping itu, terutamanya di Negara sedang membangun pendidikan asas juga mencakupi pendidikan prasekolah dan/atau program literasi dewasa. Pendidikan asas sejagat dianggap sebagai satu teras dalam misi Education for all dan Millennium Development Goals.
Dalam konteks peranan UPPA sebagai unit kecemerlangan, pendidikan asas meliputi semua konsep di atas dan boleh dirumuskan sebagai pendidikan yang membekalkan seseorang individu dengan pengetahuan, kemahiran, kompetensi, sikap dan nilai yang membolehkannya berfungsi secara produktif dan berkesan dalam masyarakat kontemporari. Aspek fundamental yang akan menjadi tumpuan penyelidikan serta intervensi bagi memajukan atau menyelesaikan masalah asas pendidikan dari perspektif sosial dan ekonomi adalah antara lain dalam bidang-bidang berikut:
i.      Literasi
ii.     Pembelajaran sepanjang hayat
iii.    Pendidikan guru
iv.    Education for all
v.     Education for Sustainable Development (EfSD)
 
TERAS DAN FUNGSI UPPA SEBAGAI UNIT KECEMERLANGAN PPIP


i.    Penyelidikan (Dalam & Luar Negara)
Mengembangkan aktiviti penyelidikan secara kluster dan merentas disiplin untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang berkaitan dengan pembangunan dasar, strategi, bahan, pendekatan, modal insan dan latihan di peringkat nasional dan antarabangsa.


ii.   Penyebaran Ilmu melalui Seminar, Bengkel dan Penerbitan
Menyebarkan maklumat dan dapatan penyelidikan melalui penganjuran bengkel, seminar dan kursus jangka pendek serta penerbitan bahan-bahan ilmiah seperti buku, monograf, prosiding, modul dan bahan-bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran. Penerbitan juga merangkumi penulisan berkala seperti buletin dan jurnal.


iii.  Perkhidmatan
Menyediakan perkhidmatan dan informasi kepakaran penyelidikan pendidikan kepada komuniti penyelidik, warga pendidikan, sekolah dan institusi yang ingin mendapatkan bantuan kepakaran dan latihan penyelidikan. Perkhidmatan yang ditawarkan akan tertumpu kepada 3 aspek:
·         Pembangunan kapasiti penyelidikan dan perundingan
·         Perundingan pendidikan
·         Kemudahan/fasiliti penyelidikan
 
      iv.  Jaringan dengan Industri dan Masyarakat
Membina dan menyokong usaha untuk menjalin kerjasama dengan masyarakat, industri dan agensi swasta bagi meluaskan capaian dan meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
 
Kewujudan UPPA sebagai pusat penyelidikan pendidikan dapat mengembangkan dan memajukan peranan sedia ada dan meningkatkan keupayaan USM sebagai sebuah universiti bertaraf APEX dalam menerajui perkembangan dan kelestarian aktiviti penyelidikan pendidikan asas. Unit ini berupaya menyediakan kepakaran dalam pelbagai disiplin, sumber dan prasarana untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan secara kolaboratif serta meningkatkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan penyelidikan pendidikan dalam kalangan kakitangan akademik, pelajar dengan organisasi luar di peringkat nasional dan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, UPPA akan menjadi satu platform atau pelantar bagi menganjurkan diskusi ilmiah atau intelektual (intellectual discourse) bagi menggalakkan aktiviti pengkayaan teori dan aplikasi penyelidikan pendidikan. Perkhidmatan yang ada diharapkan akan menjadi satu kekuatan kepada UPPA untuk menjadi sebuah unit kecemerlangan penyelidikan dan perundingan pendidikan di peringkat nasional dan serantau.