Sejarah UPPA

Unit Penyelidikan Pendidikan Asas (UPPA) telah ditubuhkan di bawah naungan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, pada 24 Februari 1990. Unit ini merupakan kesinambungan daripada sebuah unit yang terdahulu daripadanya iaitu Unit Projek InSPIRE yang merupakan projek penyelidikan dan pembangunan pendidikan untuk pelajar-pelajar luar bandar di Sabah yang telah dilaksanakan bermula pada November tahun 1987. Projek ini telah dijalankan oleh pensyarah-pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak Yayasan Sabah dengan bantuan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa, Kanada (IDRC).
 
Sejak penubuhannya, Projek InSPIRE terkenal dengan bahan-bahan pengajaran-pembelajaran yang dihasilkan.Berikutan dengan itu, ia telah menerima tawaran untuk menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan perundingan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan di peringkat nasional.
 
Bagi meningkatkan kejayaan yang telah dicapai oleh Projek InSPIRE, pihak Universiti Sains Malaysia telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu unit penyelidikan baru di bawah naungan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan iaitu Unit Penyelidikan Pendidikan Asas (UPPA) pada tahun 1990. Fungsi UPPA ialah memberi fokus kepada usaha-usaha memajukan mutu pendidikan asas melalui pendekatan terhadap isu-isu berikut:-
  1. masalah mempertingkatkan lagi mutu atau kualiti pengajaran dan pembelajaran
  2. masalah “accountability” atau keberkesanan kos sesuatu program pendidikan
  3. keperluan maklumat yang menyeluruh/mendalam mengenai sistem-sistem pengajaran-pembelajaran yang digunakan sekarang
  4. persekitaran dan kebudayaan yang mempengaruhi pembelajaran kanak-kanak
 
Maka UPPA ditubuhkan untuk memperkukuh dan memperluaskan lagi usaha penyelidikan di dalam bidang pendidikan asas.  Untuk mencapai tujuan ini, sepanjang penubuhannya, UPPA telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti penyelidikan, perundingan dan khidmat nasihat berikut:
  1. menjalankan penyelidikan, penilaian dan perkembangan bahan-bahan sokongan untuk mempertingkatkan lagi mutu atau kualiti pengajaran dan pembelajaran
  2. mengumpul dan menyebar maklumat yang menyeluruh dan mendalam mengenai sistem pendidikan asas
  3. membantu dalam latihan bagi program pendidikan guru, terutamanya dalam bidang pendidikan asas 
  4. menawarkan perkhidmatan perundingan dalam bidang pendidikan asas kepada pihak-pihak yang memerlukannya
 
Mulai tahun 2019, UPPA dijadikan sebagai "business wing" Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan dijenama semula menjadi UPPA-ESPE@USM. Unit ini mengendalikan segala bentuk projek daripada staf Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, masyarakat kampus USM dan agensi luar.